BERMULA tahun 2002, Universiti Malaya telah menawarkan program Sains Gunaan Dengan Pengajian Islam untuk pelajar aliran agama, khususnya yang ingin menceburi bidang sains dan pengajian Islam sekali gus.
Ini memberi peluang kepada pelajar untuk terus mendalami bidang sains tanpa meninggalkan bidang pengajian Islam. Program ini diletakkan di bawah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Hasilnya, kumpulan pelajar ambilan pertama program ini telah menamatkan pengajian dengan jayanya pada tahun 2007 dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Dengan Pengajian Islam dalam pengkhususan (major) bidang masing-masing iaitu Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Maklumat.
Ini membuktikan keupayaan Universiti Malaya melahirkan graduan dalam dua bidang sekali gus malah merupakan satu peluang ke arah melahirkan saintis Islam yang hebat pada masa hadapan.
Program ini diteruskan lagi dengan pengambilan pelajar kemasukan kedua yang memulakan sesi pengajian 2003/2004 di peringkat asasi, seterusnya sesi 2005/2006 untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program yang sama.
Hasil daripada peningkatan bilangan pengambilan pelajar dalam program ini, maka bidang pengkhususan (major) juga telah ditambah menjadi sembilan dengan penambahan enam kursus major yang baru iaitu Biokesihatan, Ekologi dan Biodiversiti, Mikrobiologi, Genetik, Biokimia, dan Bioinformatik.
Dengan penambahan kursus baru ini memberi lebih banyak pilihan dan peluang kepada pelajar untuk menceburi bidang masing-masing.
Namun, permasalahan dan persoalan yang timbul ialah enam kursus baru yang ditawarkan ini masih belum mendapat pengiktirafan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Walaupun pelajar-pelajar ambilan kedua ini telah memulakan pengajian pada tahun 2005 dan menamatkan pengajian pada tahun 2008, namun kursus ini masih belum mendapat pengiktirafan daripada pihak JPA.
Masalah ini telah menyukarkan dan menyempitkan peluang untuk para graduan memohon pekerjaan kerana kebanyakan jawatan yang ditawarkan oleh pihak majikan memerlukan pengesahan pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Hal ini juga menyebabkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menjadi terhad dan tersekat.
Permasalahan ini pernah diajukan oleh wakil pelajar kepada pihak Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan juga pihak Jabatan Perkhidmatan Awam beberapa kali tetapi jawapan yang diterima tetap sama, ‘masih dalam proses’.
Adakah masa selama tiga tahun pengajian dan sehingga sekarang masih tidak mencukupi untuk proses mendapatkan pengiktirafan? Pelajar dalam bidang ini bagi pengambilan ketiga juga bakal menamatkan pengajian dan mendapat Ijazah pada tahun ini. Adakah mereka juga senasib dengan senior mereka?
Universiti Malaya">
dipetik dari http://www.utusan.com.my






